Dua beradik perempuan maut dirempuh kereta terbabas




PASIR PUTEH: Dua beradik perempuan maut selepas dilanggar sebuah kereta yang terbabas dalam kemalangan di KM 37.5 Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu (Jalan Bypass), lintasan ke Bandar Pasir Puteh, di sini, lewat petang tadi.

Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 7.10 malam, membabitkan mangsa berusia 29 dan 23 tahun.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria, berkata dua beradik itu menaiki motosikal jenis Yamaha Ego Solariz yang ditunggang gadis berusia 23 tahun sambil dibonceng kakaknya.

Katanya, penunggang motosikal itu meninggal dunia akibat kecederaan di bahagian kepala, manakala kakaknya cedera di muka dan kepala.

"Kemalangan berlaku ketika pemandu kereta Perodua Viva berusia 23 tahun, dari Gong Kulim ke Telosan, hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.

"Kereta berkenaan melanggar motosikal mangsa menyebabkan kedua beradik itu tercampak dan melambung ke bahu jalan arah ke Kuala Terengganu," katanya.

Beliau berkata, dua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta Viva tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kemalangan dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu Viva yang hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.