Anggota polis maut, kereta terputus dua



KUCHING: Seorang anggota polis maut selepas tercampak keluar dari kereta yang dipandunya dalam kemalangan di Kilometer 42, Jalan Kuching-Serian, hari ini.

Konstabel Mohd Shamezad Mohd Salehuddin, 28, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di beberapa bahagian badan.

Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis, berkata siasatan awal mendapati ketika nahas jam 6.35 pagi itu, kereta dipandu mangsa dari arah kuching menuju ke Serian, dikatakan tiba-tiba hilang kawalan.

Beliau berkata, kereta itu kemudian merempuh besi pembahagi jalan sebelum melanggar konkrit di hujung jambatan Sungai Samarahan.

"Akibat kejadian ini, kereta terbabit terputus dua dan mangsa tercampak keluar ke tepi jalan di atas jambatan.

"Kejadian berlaku ketika hujan yang menyebabkan jalan basah serta licin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Aswandy berkata, jenazah mangsa yang bertugas di Balai Polis Serian itu dibawa ke Hospital Serian untuk bedah siasat.

"Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.